Abd Hamid Ismail

Leftenan Muda Abd Hamid Ismail adalah seorang anggota tentera Malaysia yang berasal dari Kampung Teluk Malik, Jitra, Kedah. Beliau telah dikurniakan pingat Seri Pahlawan Gagah Perkasa pada 4 Jun 1975 di atas keberaniannya semasa pertempuran dengan pengganas komunis.Pada 8 Sep 1973 kumpulan ronda seramai sembilan orang pimpinan Leftenan Muda Abd Hamid telah berjaya mengesan sekumpulan pengganas yang sedang berehat. Leftenan Muda Abd Hamid segera menyusun kedudukan dan memulakan pertempuran dengan melepaskan tembakan pertama dan mencederakan seorang pengganas. Musuh yang tercedera berundur dengan pantas dari kawasan pertempuran. Dalam usaha menyusun anggotanya untuk serangan ke kedudukan musuh, Leftenan Muda Abd Hamid yang dalam keadaan berdiri telah ditembak di bahagian perut oleh seorang pengganas. Beliau terkorban dalam pertempuran tersebut.Hasil dari pertempuran tersebut, seorang pengganas berjaya dibunuh, selaras Tommy gun madson 645 bersama peluru dan lima beg galas berjaya dirampas di tempat kejadian.